SEBUAH bas sekolah disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah selepas dikesan menyalahgunakan permit apabila membawa penumpang awam untuk menghadiri majlis pengebumian, hari ini.
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, kenderaan terbabit ditahan dalam Operasi Kenderaan Perkhidmatan Awam (Ops KPA) di susur keluar Tol Gurun, Sungai Petani Selatan kira-kira jam 12 tengah hari.
“Pemeriksaan mendapati bas itu membawa seramai 26 penumpang yang dipercayai dalam perjalanan ke Bukit Jenun, Pendang bagi menghadiri upacara pengebumian,” katanya pada sidang media di Stesen Penguatkuasaan JPJ Kuala Ketil, hari ini.
Menurutnya, pemilik bas berusia 73 tahun mendakwa menjalankan perkhidmatan membawa penumpang awam secara sambilan berikutan permintaan membawa pelajar sekolah semakin berkurangan sejak dua tahun lalu.
“Kita ambil keterangan pemilik bas dan kenderaan itu kemudian disita kerana tidak mematuhi syarat permit.
“Bas sekolah hanya dibenarkan membawa pelajar sekolah dan bukannya digunakan untuk membawa orang awam bagi tujuan lain.
Beliau berkata, syarat permit perlu dipatuhi sepenuhnya kerana membabitkan aspek keselamatan dan perlindungan penumpang.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 80(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 22(3) akta sama,” ujarnya.


