WAKIL rakyat yang dipilih atas tiket parti seharusnya kekal berkhidmat sehingga tamat penggal bagi menghargai dan menghormati mandat rakyat.
Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anthony Loke berkata, prinsip itu perlu dihormati kerana kemenangan seseorang wakil rakyat diperoleh atas kapasiti parti yang diwakili.
“Kita (wakil rakyat) kena menghormati proses bahawa apabila kita telah menang atas kapasiti parti, kita kena kekal sehingga pilihan raya,” katanya.
Loke yang juga Setiausaha Agung DAP berkata demikian kepada pemberita selepas Konvensyen PH di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di Johor Bahru hari ini yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama barisan kepimpinan PH.
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan diminta mengulas tindakan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengumumkan keluar parti hari ini serta mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing, berkuat kuasa esok.
Menurutnya, tindakan bekas pemimpin PKR itu mungkin mempunyai implikasi dari sudut perundangan dan perkara berkenaan perlu diputuskan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Rafizi, yang juga Ahli Parlimen Pandan dan Nik Nazmi, Ahli Parlimen Setiawangsa, dilaporkan akan menyerahkan surat berhubung kerusi mereka kepada Tan Sri Johari Abdul esok.
Surat peletakan jawatan mereka daripada PKR pula akan diserahkan kepada Setiausaha Agung parti, Datuk Dr Fuziah Salleh pada Selasa.
Susulan pengumuman itu, Rafizi dan Nik Nazmi turut memaklumkan akan mengambil alih Parti Bersama Malaysia daripada pengasas merangkap Presidennya, Tan Gin Theam sebagai platform baharu perjuangan politik mereka.
Parti Bersama Malaysia ditubuhkan pada 2 Disember 2016 dan aktif di Pulau Pinang.


