Dendam lama punca pemuda OKU maut dipukul

DENDAM lama dipercayai menjadi motif pembunuhan seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) pembelajaran yang ditemukan parah di tepi jalan di Padang Lati, Bachok, bulan lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kes berkenaan dianggap selesai selepas penahanan tujuh suspek berusia antara 25 hingga 52 tahun termasuk pasangan suami isteri.

Menurutnya, siasatan mendapati semua suspek adalah rakan serta kenalan mangsa dan berlaku perselisihan faham antara mereka sebelum kejadian.

“Empat daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau, namun hasil ujian air kencing mendapati kesemua mereka negatif dadah.

“Hasil penahanan turut membawa kepada rampasan sebuah kereta, tiga motosikal, enam telefon bimbit dan dua batang kayu dipercayai digunakan dalam kejadian,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.

Beliau berkata, mangsa dipercayai dipukul di sebuah rumah di daerah Kota Bharu sebelum dibawa dan ditinggalkan di tepi jalan di Padang Lati, Bachok.

“Mangsa diletakkan di tepi jalan dalam keadaan cedera parah bagi memberi gambaran seolah-olah dia terbabit dalam kemalangan jalan raya,” katanya.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia keesokan harinya ketika menerima rawatan di hospital.

Mohd Yusoff berkata, siasatan turut mendapati dua lelaki berusia 25 dan 28 tahun dipercayai menjadi dalang utama dalam kes berkenaan manakala suspek lain membantu memindahkan mangsa.

“Jarak lokasi mangsa dipukul ke lokasi dia ditinggalkan adalah kira-kira 6.5 kilometer.

“Kesemua suspek kini direman dan akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, mangsa, Muhammad Zakir Fikry Mohd Zainal, 20, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img