SEORANG lelaki yang dipercayai menikam leher seorang wanita di hadapan restoran di Titi Gajah, Kepala Batas malam tadi direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Perintah reman terhadap suspek berusia 32 tahun itu dikeluarkan Majistret Noor Shifa Mohd Hamzah di lokap Mahkamah Alor Setar.
Terdahulu, suspek tiba di lokap mahkamah kira-kira jam 8.20 pagi dengan memakai pakaian lokap berwarna oren.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, suspek ditahan di kawasan masjid di Taman Uda, Lebuhraya Sultanah Bahiyah kira-kira jam 1.50 pagi tadi.
Menurutnya, penahanan dilakukan kira-kira lima jam selepas kejadian tikam berkenaan berlaku.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.19 malam semalam, mangsa wanita berusia 35 tahun dipercayai ditikam di bahagian kanan leher oleh seorang lelaki yang dikenalinya ketika berada di dalam kereta di hadapan restoran di Jalan Titi Gajah, Kepala Batas.
Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) akibat kecederaan parah di leher kanan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan polis masih mengesan senjata yang digunakan dalam kejadian itu.


