POLIS Kelantan berjaya menumpaskan kumpulan pecah rumah yang aktif di sekitar Kota Bharu selepas menahan tiga lelaki dengan nilai kerugian keseluruhan mangsa dianggarkan melebihi RM400,000.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 28 hingga 36 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Jalan Perol, Ahad minggu lalu.
Menurutnya, hasil tangkapan berkenaan membawa kepada penyelesaian 13 kes pecah rumah termasuk kes terbaharu pada 28 April lalu yang membabitkan kerugian RM30,000.
“Menerusi serbuan itu, polis turut merampas pelbagai peralatan, 18 utas barang kemas, sebuah kereta, jam tangan dan telefon bimbit.
“Semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan 14 kes dadah dan 16 kes jenayah,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.
Beliau berkata, modus operandi kumpulan terbabit adalah melakukan rondaan dan pemantauan seawal jam 8 pagi bagi mengenal pasti rumah yang ditinggalkan kosong ketika penghuni keluar bekerja.
“Kebanyakan kes pecah rumah itu dilakukan pada waktu siang ketika penghuni keluar bekerja,” katanya.
Mohd Yusoff berkata, hasil saringan air kencing mendapati semua suspek positif methamphetamine atau syabu dan kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.


