MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur menetapkan 20 Julai depan sebagai tarikh keputusan sama ada pelakon dan usahawan, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad akan dilepaskan atau disabitkan atas tiga pertuduhan subahat rasuah membabitkan RM2.8 juta.
Hakim Rosli Ahmad menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan lisan daripada pihak pembelaan dan pendakwaan dalam prosiding, hari ini.
Mahkamah turut mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan tambahan berhubung isu konspirasi sebelum atau pada 9 Julai depan.
Zizie Izette diwakili barisan peguam diketuai Datuk Seri K Kumaraendran, M Athimulan dan Ridha Abdah Subri, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How dan Mohamad Fadhly Mohd Zamri.
Jika pembelaannya gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, bekas pelakon berusia 48 tahun itu berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi bagi setiap pertuduhan.
Mengikut pertuduhan pertama, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Allahyarham Bung Moktar Radin yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad, memperoleh wang tunai RM2.2 juta daripada Madhi Abdul Hamid.
Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II bagi FELCRA Berhad membuat pelaburan RM150 juta dalam produk unit amanah Public Mutual Berhad.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memperoleh suapan RM262,500 daripada individu sama melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas namanya.
Tertuduh turut berdepan pertuduhan ketiga memperoleh RM337,500 daripada Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bagi tujuan sama.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad cawangan Taman Melawati pada 12 dan 19 Jun 2015.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 24(1) akta sama.
Pada 16 Januari lalu, Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan Allahyarham Bung Moktar daripada tiga pertuduhan rasuah berkenaan selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes terhadap beliau susulan kematiannya pada 5 Disember 2025.


