Pemandu didakwa mabuk, lawan arus hingga penghantar makanan parah

SEORANG lelaki bekerja sebagai pembantu perancang acara sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Klang hari ini, atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan parah kepada seorang penghantar makanan, minggu lalu.

Tertuduh, Low Kean Peng, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Karthiyayini.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memandu dengan kandungan alkohol sebanyak 196 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darah, melebihi had ditetapkan sebanyak 146mg alkohol dalam 100ml darah.

Perbuatan itu didakwa menyebabkan kecederaan parah kepada penunggang motosikal, Zulfiqar Zamir Amirul Nizam, 27, dalam kejadian di Persiaran Kota, Klang kira-kira jam 12.35 tengah malam Rabu lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara tujuh hingga 10 tahun serta denda minimum RM30,000 dan maksimum RM50,000 jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu bagi tempoh tidak kurang tujuh tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nadia Syuhada Rosli memohon tiada jaminan diberikan atas alasan kesalahan itu serius dan menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Bagaimanapun, Peguam, Ethan Tan yang mewakili tertuduh, memohon ikat jamin minimum atas alasan anak guamnya adalah penanggung tunggal keluarga dengan pendapatan antara RM1,800 hingga RM2,000 daripada kerja sambilan.

Beliau berkata, ibu tertuduh menghidap penyakit kencing manis, manakala bapa adalah pesakit kanser yang memerlukan rawatan perubatan dari semasa ke semasa, dengan kedua-dua mereka bergantung pada tertuduh.

“Mahkamah boleh mengenakan syarat tambahan kepada tertuduh sebagai jaminan,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan dua kali sebulan.

Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai dan menetapkan 30 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Turut hadir mengikuti prosiding ialah ibu mangsa, Hamidah Othman, 54, dan tunang mangsa, Nurul Syafiqah Ridzuan, 25.

Media sebelum ini melaporkan seorang penghantar makanan cedera parah selepas dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki dipercayai mabuk dan melawan arus sejauh kira-kira 3.5 kilometer.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey dilaporkan berkata, hasil ujian saringan awal mendapati pemandu kereta itu positif alkohol.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img