Polis buru kumpulan buat aksi ‘gila’ bakar suar atas Hilux di Bukit Bintang

POLIS sedang memburu sekumpulan lelaki yang dikesan melakukan aksi berbahaya termasuk membakar suar (flare) di atas sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux di tengah jalan di kawasan Bukit Bintang selepas video kejadian itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, pihaknya mengesan video berdurasi antara enam hingga 10 minit itu hari ini yang memaparkan tujuh hingga lapan individu menaiki sebuah Toyota Hilux serta dua motosikal jenis scrambler.

Menurutnya, kumpulan terbabit dipercayai berlegar di sekitar kawasan tumpuan pelancong di Bukit Bintang sebelum melakukan aksi yang mengganggu ketenteraman awam.

“Video berkenaan jelas menunjukkan aktiviti yang boleh mengancam keselamatan awam serta mengganggu ketenteraman penduduk, peniaga dan pelancong di sekitar Bukit Bintang.

“Pihak polis sudah membuka siasatan mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Sazalee berkata, siasatan turut mendapati kenderaan yang digunakan dipercayai tidak mempunyai nombor pendaftaran selain terdapat aksi membakar suar di atas Toyota Hilux berhampiran sebuah restoran makanan segera di Jalan Sultan Ismail.

Beliau berkata, polis turut menyiasat kaitan simbol atau rentang tertera nombor ‘6.6’ yang dipaparkan dalam video berkenaan.

“Kita masih mengumpulkan maklumat bagi mengenal pasti maksud sebenar simbol berkenaan serta semua individu yang terbabit,” katanya.

Menurutnya, setakat ini belum ada tangkapan dibuat, namun polis sudah mengesan sebuah premis pakaian yang dipercayai mempromosikan jenama menggunakan kandungan video terbabit dan pemiliknya akan dipanggil membantu siasatan.

Katanya, polis kini sedang mengesan pemilik Toyota Hilux dan motosikal yang digunakan dalam kejadian itu.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img