Bakal pengantin koma dirempuh pemandu mabuk lawan arus

HASRAT seorang lelaki untuk mendirikan rumah tangga hujung tahun ini bertukar tragedi apabila dia kini koma selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dipandu secara melawan arus di Persiaran Kota, Klang, minggu lalu.

Mangsa, Zulfiqar Zamir Amirul Nizam, 27, kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) selepas mengalami pendarahan otak serta pelbagai kecederaan serius

Ibunya, Hamidah Othman, 54, berkata, anak sulung daripada empat beradik itu masih ditidurkan dan belum sedarkan diri sejak kejadian.

Menurutnya, mangsa mengalami patah tangan kanan, kaki kanan, betis, tulang belikat selain tiga jari tangan turut patah akibat rempuhan berkenaan.

“Dia masih koma dan doktor memaklumkan ada pendarahan di otak. Buat masa ini doktor masih memantau keadaannya sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.

“Anak saya menunggang di laluan betul, tetapi masih dirempuh pemandu yang melawan arus,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Majistret Klang, hari ini.

Hamidah berkata, lebih memilukan apabila kejadian berlaku beberapa bulan sebelum anaknya melangsungkan perkahwinan yang dijadualkan pada Disember depan.

Katanya, semua persiapan majlis perkahwinan yang dijadual berlangsung di Pasir Gudang, Johor sudah dibuat.

“Dia sudah bertunang dan sepatutnya berkahwin hujung tahun ini. Kami memang sudah buat persiapan untuk majlis itu,” katanya.

Menurut Hamidah, anaknya yang bekerja sebagai penasihat servis di sebuah syarikat automotif turut melakukan kerja sambilan sebagai penghantar barangan bagi menambah pendapatan.

Katanya, pada malam kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan menghantar kenderaan ke Pelabuhan Klang sebelum dirempuh suspek yang dikatakan memandu secara melawan arus.

“Dia buat kerja sambilan sudah lama, tetapi bukan setiap hari. Kalau dia rasa penat dia tidak akan buat.

“Malam kejadian dia baru ambil pesanan penghantaran sebelum kemalangan berlaku,” katanya.

Hamidah berharap tindakan tegas dapat dikenakan terhadap pemandu terbabit demi keadilan buat anaknya selain mengelakkan kejadian sama berulang kepada orang lain.

“Saya berharap pendakwaan terhadap tertuduh, akan memberi keadilan buat anak saya malah kami sekeluarga tidak mahu orang lain menerima nasib sama akibat pemandu mabuk,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan seorang pembantu perancang acara sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Klang atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa.

Tertuduh didakwa memandu dengan kandungan alkohol melebihi had dibenarkan sehingga menyebabkan kemalangan di Persiaran Kota, jam 12.35 tengah malam, 13 Mei lalu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img