Baling molotov koktail, bapa tiga anak dihukum penjara enam tahun

SEORANG lelaki yang menjadi ‘orang suruhan’ ceti haram dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen Batu Pahat hari ini selepas mengaku bersalah membakar rumah seorang warga emas menggunakan molotov koktail, bulan lalu.

Hukuman terhadap Mohamed Hanaffi Ahmad, 32, diputuskan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

Mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan berasingan dengan hukuman penjara lima tahun setengah yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Segamat terhadap tertuduh bulan lalu atas kesalahan sama, menjadikan keseluruhan hukuman penjara yang perlu dijalani adalah 11 tahun enam bulan.

Berdasarkan pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa membaling molotov koktail hingga menyebabkan kerosakan ke atas rumah milik lelaki warga emas berusia 62 tahun di Taman Nagaria, Senggarang, kira-kira jam 5.16 petang pada 11 April lalu.

Mengikut fakta kes, mangsa membuat laporan polis selepas mendapati terdapat kesan terbakar di kawasan tempat letak kenderaan ketika datang melawat rumah sewanya itu.

Susulan laporan diterima, polis menahan tertuduh di Bandar Putra, Kulaijaya bersama isterinya yang turut dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.

Hasil pemeriksaan ke atas telefon bimbit isteri tertuduh menemukan rakaman video memaparkan lelaki itu sedang membaling molotov koktail ke arah rumah sewa mangsa.

Siasatan lanjut mendapati tertuduh menerima bayaran antara RM200 hingga RM300 bagi setiap rumah yang dibaling dengan bahan api berkenaan.

Pada prosiding itu, mahkamah turut ditayangkan rakaman video kejadian yang menunjukkan tertuduh meletakkan telefon bimbit di atas jalan sebelum melakukan perbuatan terbabit.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img