Altimet nafi keluar PKR, Rodziah tegaskan tidak akan khianati parti

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahmad Alhadah atau Altimet menafikan beliau akan meletakkan jawatan dan meninggalkan PKR.

Dalam satu kenyataan, beliau yang juga Ketua PKR Ampang dengan tegas menyatakan akan kekal bersama PKR dalam menjaga kebajikan rakyat di Lembah Jaya, Ampang dan Malaysia.

“Saya menafikan keluar parti dan kekal bersama PKR dalam menjaga kebajikan rakyat di Lembah Jaya, Ampang dan Malaysia,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui Kerajaan MADANI.

“Saya yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri yang sehingga kini berjaya menstabilkan keadaan ekonomi di waktu ketidaktentuan geopolitik dunia, meningkatkan KDNK, menjaga kebajikan Malaysia dan menaikkan nama tanah air di mata dunia,” katanya.

Terdahulu, tular di TikTok dakwaan Timbalan Ketua Wanita PKR Juwairiya Zulkifli dan dua ADUN Selangor, iaitu Altimet dan ADUN Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi akan meninggalkan PKR.

SEMENTARA itu Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Salleh menegaskan  beliau tidak pernah dan tidak akan sesekali mengkhianati mandat yang diberikan oleh pengundinya.

Tegasnya, beliau akan terus bekerja dan berkhidmat selagi rakyat memberi kepercayaan kepadanya.

Rodziah menekankan bahawa kerusi Ampang adalah amanah rakyat dan bukannya hak milik mana-mana individu atau kumpulan.

“Ampang memerlukan kestabilan, khidmat dan penyelesaian — bukan politik yang hanya menambah perpecahan dan keresahan,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebook.

PKR Ampang hari ini menggesa Rodziah untuk mengosongkan kerusi parlimennya susulan kehadirannya semalam, di acara yang menyaksikan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan mereka keluar parti dan mengosongkan kerusi parlimen masing-masing bagi menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama).

Dalam satu kenyataan hari ini, Timbalan Ketua PKR Ampang Daing Reduan Bachok menuduh Rodziah tidak lagi setia kepada kepimpinan PKR.

Rodziah seterusnya menegaskan,  dalam demokrasi matang, mendengar pandangan yang berbeza bukan suatu kesalahan dan bertanya bukan penderhakaan.

“Berfikir sebelum membuat keputusan juga bukan pengkhianatan. Kematangan politik menuntut kita untuk mengurus perbezaan dengan kebijaksanaan, bukan dengan ketakutan atau tuduhan melulu,” tambahnya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img