Guardiola dijangka ucap selamat tinggal kepada Man City

PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola dikhabarkan akan menamatkan tugasnya bersama kelab itu selepas aksi penutup musim Liga Perdana Inggeris hujung minggu ini.

Spekulasi mengenai masa depan jurulatih berusia 55 tahun tersebut semakin hangat diperkatakan selepas beberapa media Britain melaporkan beliau bersedia meninggalkan Stadium Etihad selepas hampir sedekad membina dominasi City di pentas domestik dan Eropah.

Setakat ini, pihak pengurusan City belum mengesahkan sebarang keputusan rasmi berhubung kedudukan Guardiola.

Sejak tiba di Manchester pada 2016, Guardiola berjaya mencorakkan era paling berjaya dalam sejarah kelab apabila menghadiahkan pelbagai trofi termasuk enam kejuaraan Liga Perdana Inggeris serta satu gelaran UEFA Champions League.

Jumlah keseluruhan trofi yang dimenanginya bersama City kini mencecah 20 kejuaraan.

City bagaimanapun masih mempunyai misi besar untuk menamatkan saingan liga sebagai juara musim ini jika mampu menewaskan AFC Bournemouth dan Aston Villa, selain mengharapkan pendahulu liga, Arsenal gagal memperoleh kemenangan ke atas Crystal Palace.

Dalam masa sama, City juga sedang membuat persiapan untuk mengadakan perarakan meraikan kejayaan merangkul Piala FA dan Piala Liga minggu depan, yang mungkin menjadi detik terakhir Guardiola bersama penyokong kelab tersebut.

Karier Guardiola mula melonjak ketika mengendalikan Barcelona apabila beliau membawa kelab gergasi Catalan itu memenangi pelbagai trofi utama termasuk tiga gelaran La Liga dan dua mahkota Liga Juara-Juara.

Bekas pemain tengah Sepanyol itu kemudian menyambung kejayaan bersama Bayern Munich sebelum membuka lembaran baharu di England.

Pengaruh Guardiola dianggap cukup besar dalam mengubah gaya permainan moden di Liga Perdana Inggeris selain menjadikan City antara pasukan paling digeruni di Eropah.

Namun, kemungkinan pemergiannya hadir ketika kelab itu masih menunggu keputusan siasatan berkaitan lebih 100 pertuduhan pelanggaran peraturan kewangan yang sedang dihadapi.

Prosiding kes tersebut dilaporkan selesai pada penghujung tahun lalu, namun keputusan akhir daripada suruhanjaya bebas masih belum diumumkan sehingga kini.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img