Gara-gara ‘Rosnah’, pengurus syarikat rugi lebih RM500,000 terperdaya janji untung lumayan

SEORANG pengurus penilaian hartanah kerugian lebih RM500,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan saham tidak wujud yang menjanjikan keuntungan mencecah RM658,646.88 menerusi Facebook.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, mangsa wanita berusia 67 tahun itu tertarik dengan satu iklan pelaburan saham di Facebook pada 28 Mac lalu sebelum berhubung dengan seorang wanita dikenali sebagai ‘Rosnah’ melalui aplikasi WhatsApp.

Menurutnya, mangsa kemudian bersetuju menyertai pelaburan berkenaan dan menyerahkan maklumat peribadi kepada suspek.

“Bermula 28 Mac hingga 28 April lalu, mangsa membuat 61 transaksi pembayaran secara dalam talian, mesin deposit tunai (CDM) dan kaunter bank di Temerloh ke beberapa akaun bank individu yang diberikan suspek.

“Pada 29 April lalu, mangsa dimaklumkan seorang ‘manager’ bernama Rahimah Omar bahawa dia perlu membuat bayaran tambahan RM80,000 sebagai caj perkhidmatan untuk mengeluarkan keuntungan pelaburan yang dikatakan berjumlah RM658,646.88,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian memohon agar caj itu ditolak daripada keuntungan pelaburan, namun permintaannya ditolak dan dia diminta membuat bayaran penuh terlebih dahulu.

Katanya, pada 5 Mei lalu, suspek memaklumkan menerusi satu notis rasmi dalam kumpulan pelaburan itu bahawa sistem sedang diselenggara dan beberapa urusan tidak dapat dijalankan buat sementara waktu.

“Selepas itu, mangsa gagal menghubungi suspek, kumpulan berkenaan serta individu bernama Rahimah Omar hingga kini.

“Mangsa menyedari dirinya ditipu selepas gagal mendapatkan semula wang pelaburan sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya.

Menurut beliau, mangsa mengalami kerugian keseluruhan RM505,576.88 membabitkan wang simpanannya serta ahli keluarga.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan supaya segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img