POLIS menahan seorang lelaki tempatan kurang 24 jam selepas dipercayai terbabit dalam kes samun bersenjata membabitkan sebuah Toyota Fortuner di Bulatan Time Square, Jalan Cina, Miri, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, mangsa turut kerugian wang tunai RM600 dengan jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan RM170,600.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, seorang wanita bersama anaknya sedang menunggu di dalam kenderaan sebelum didatangi dua lelaki tidak dikenali.
“Suspek kemudian bertindak agresif apabila seorang daripada mereka mengacukan pisau ke arah leher anak mangsa manakala seorang lagi mengugut wanita terbabit menggunakan senjata sama,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, kedua-dua suspek kemudian melarikan Toyota Fortuner itu sebelum meninggalkan mangsa bersama anaknya di kawasan Miri Park.
“Bertindak atas maklumat dan hasil siasatan awal, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun di kawasan berhampiran Time Square pada hari sama.
“Semakan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau membabitkan samun, curi kenderaan dan kesalahan dadah,” ujarnya.
Katanya, polis turut berjaya menemui semula Toyota Fortuner milik mangsa di kawasan parkir sebuah pasar raya besar di Miri.
Beliau berkata, suspek kini direman selama enam hari sehingga 24 Mei ini bagi membantu siasatan lanjut termasuk mengesan seorang lagi rakan suspek yang masih bebas.


