JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak terpedaya dengan surat tuntutan bayaran SST pelaburan yang menggunakan nama dan logo rasmi jabatan itu yang kini tular di media sosial.
JKDM dalam kenyataan memaklumkan, surat bertajuk ‘Notis Rasmi Tunggakan Caj Perkhidmatan (SST) 8% Dalam Pelaburan; itu adalah palsu dan dipercayai sebahagian daripada cubaan penipuan bagi memperdaya mangsa.
Menurut kenyataan itu, pihak jabatan tidak pernah mengeluarkan sebarang surat tuntutan bayaran SST berkaitan pelepasan dana pelaburan seperti yang dinyatakan dalam dokumen terbabit.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang bayaran atau berkongsi maklumat peribadi kepada mana-mana pihak yang tidak dikenali.
“Sebarang urusan rasmi berkaitan JKDM hendaklah disemak menerusi saluran rasmi jabatan sahaja,” menurut kenyataan itu hari ini.
JKDM turut meminta orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang surat, panggilan telefon atau mesej mencurigakan yang menggunakan nama jabatan berkenaan.
Katanya, sebarang pengesahan lanjut boleh dibuat dengan menghubungi Pusat Panggilan Kastam di talian 1-300-888-500.


