Bayi tujuh bulan maut ketika dalam jagaan pengasuh

SEORANG bayi lelaki berusia tujuh bulan maut selepas dipercayai tidak sedarkan diri ketika berada di bawah jagaan seorang pengasuh wanita di sebuah rumah di Bandar Sri Sendayan, Seremban, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada ibu mangsa yang juga seorang guru taska berusia lingkungan 30-an.

Menurutnya, wanita itu memaklumkan pengasuh bayinya menyedari mangsa tidak sedarkan diri sebelum membawa kanak-kanak terbabit ke klinik berhampiran kira-kira jam 10 malam.

“Bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar dan doktor bertugas telah melakukan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sebelum mendapati mangsa telah meninggal dunia.

“Hasil siasatan mendapati mangsa dijaga pengasuh berusia lingkungan 30-an itu sejak Disember tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketika kejadian mangsa dipercayai ditidurkan di dalam buaian serta diberikan puting jenis silikon.

Katanya, mayat bayi berkenaan dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Pengasuh terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Azahar turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.

Menurutnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img