Guru kelas wanita didakwa tunjuk gambar alat sulit terhadap pelajar lelaki

SEORANG guru wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini, atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap pelajar lelaki berusia 14 tahun yang juga anak muridnya sejak tahun lalu.

Tertuduh, Nurul Asyikin Sutan Shahril, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Aishah Ab Rashid.

Mengikut tiga pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang mana dia mempunyai hubungan amanah sebagai guru kelas pelajar terbabit.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bawah pokok di hadapan Taman Apartment Arowana Seremban 2 serta di sebuah rumah di Taman Nusa Intan antara 12 September 2025 hingga 7 April lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Dia turut didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 16 Akta 792.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, manakala bagi kesalahan di bawah Seksyen 16 pula boleh dipenjara maksimum lima tahun serta tidak kurang dua sebatan.

Bagi dua lagi pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap mangsa sama dengan menunjukkan gambar alat sulitnya menerusi aplikasi WhatsApp bagi tujuan seksual selain mendorong mangsa menghantar gambar sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 13 September 2025 hingga 10 April lalu di sebuah bilik apartmen di Seremban 2.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(a)(i) dan Seksyen 15(a)(ii) Akta 792 dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni yang menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin selain syarat tambahan melapor diri di balai polis setiap bulan, tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Zaflee Pakwanteh memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya yang berpendapatan RM6,000 sebulan itu sudah berkahwin dan mempunyai dua anak.

Zaflee turut memaklumkan tertuduh sudah dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah selepas laporan polis dibuat terhadapnya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img