SEORANG lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh dadah direman selepas disyaki cuba menyerang seorang penceramah menggunakan parang ketika sesi ceramah agama di sebuah masjid di Simpang Tiga, Parit Sulong, malam kelmarin.
Suspek berusia 38 tahun itu direman selama tiga hari bermula hari ini selepas ditahan polis bagi membantu siasatan.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Nurasidah A Rahman bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan selain menjalankan proses pengecaman dan rakaman percakapan.
Mengikut siasatan awal, kejadian berlaku kira-kira jam 8.20 malam ketika penceramah berusia lingkungan 40-an sedang menyampaikan ceramah kepada ahli kariah masjid berkenaan.
Suspek yang turut berada dalam sesi tersebut dipercayai tiba-tiba bangun dalam keadaan marah sambil membawa sebilah parang sebelum bertindak agresif dan cuba menyerang penceramah terbabit.
Bagaimanapun, tindakan pantas beberapa ahli kariah berjaya meleraikan kejadian sebelum suspek melarikan diri sejurus insiden itu berlaku.
Bertindak atas laporan polis dibuat, sepasukan anggota dari Bahagian Pencegahan Judi, Maksiat dan Gangsterisme (D7) berjaya menahan suspek semalam untuk membantu siasatan.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai bertindak sedemikian kerana mendakwa terdengar penceramah berkenaan menghina nabi ketika menyampaikan ceramah.


