APAKAH Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) tidak akan diadakan pada tahun ini? Persoalan itu timbul apabila Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan semua parti komponen terus memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran.
Kenyataan itu sekali gus menolak sebarang spekulasi yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan PRU16 pada tahun ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri menghargai komitmen semua rakan parti komponen dalam Kerajaan Madani yang terus menyatakan sokongan kepada kerajaan sehingga tamat penggal pentadbiran.
Menurut beliau, komitmen itu khususnya melibatkan Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Perdana Menteri telah menyatakan penghargaan terhadap komitmen semua rakan-rakan parti komponen dalam Kerajaan Madani.
“Khususnya Barisan Nasional, GRS dan GPS yang telah menyatakan bahawa parti-parti tersebut terus kekal menyokong dan akan bersama dengan Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet hari ini.
Beliau berkata, komitmen itu mencerminkan keutamaan yang diberikan terhadap kepentingan rakyat dan negara.
Katanya, kestabilan politik ketika ini membolehkan kerajaan memberi tumpuan penuh kepada usaha menangani cabaran ekonomi susulan krisis di Asia Barat selain memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
Ketika ini, Kerajaan Perpaduan dianggotai Pakatan Harapan, Barisan Nasional serta beberapa parti dari Sabah dan Sarawak.
Tempoh penggal semasa Dewan Rakyat dijadual berakhir pada 18 Disember 2027.


