Ibu maut, anak usia 6 tahun parah dirempuh lori hilang kawalan

SEORANG ibu maut manakala anak lelakinya berusia enam tahun cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh lori yang hilang kawalan di Kilometer 64 Jalan Ibam-Rompin berhampiran pencawang elektrik Kampung Kundang, Rompin, semalam.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, mangsa, Normala Siti, 31, dari RPS Kedaik, Kuala Rompin disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Muadzam Shah.

Anak lelakinya pula berusia enam tahun mengalami kecederaan parah dan masih menerima rawatan di hospital sama.

“Kemalangan membabitkan sebuah lori jenis dumper dan motosikal Yamaha Y15ZR dinaiki dua beranak berkenaan.

“Siasatan awal mendapati lori itu dalam perjalanan dari arah Selendang menuju ke Muadzam Shah manakala motosikal dinaiki mangsa dari arah bertentangan.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, lori yang sedang bergerak lurus dipercayai mengalami kerosakan apabila enjinnya mati secara tiba-tiba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan stereng lori dipercayai bermasalah sebelum kenderaan terbabit hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu merempuh motosikal dinaiki mangsa dan anaknya.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, wanita itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan hospital berkenaan pada jam 7.45 malam,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat di talian 017-9249261 atau mana-mana balai polis berhampiran.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img