SUASANA pilu menyelubungi upacara pengebumian seorang remaja lelaki yang maut dalam kemalangan ngeri di Jalan Losong Feri, Kuala Terengganu apabila bapanya tidak dapat menahan kesedihan kehilangan anak tunggal lelaki mereka.
Bapanya, Wah Tee Tun, 49 beberapa kali dilihat menangis teresak-esak ketika memberi penghormatan terakhir kepada anaknya, Wah Han Keong, 18 di dewan Dewan Hui Chun, Jalan Balik Bukit, Kuala Terengganu.
Ketika pasangan suami isteri itu memberikan penghormatan terakhir kepada anak mereka, mereka cuba menahan sebak sambil menyampaikan kata-kata terakhir penuh kerinduan dan kasih sayang kepada mendiang.
Bagaimanapun, kedua-duanya gagal menahan emosi sebelum rebah menangis dan ditenangkan ahli keluarga serta saudara-mara yang hadir.
Lebih 100 individu hadir memberikan penghormatan terakhir kepada mangsa termasuk ahli keluarga, rakan-rakan, guru sekolah serta wakil persatuan masyarakat.
Turut hadir memberikan penghormatan ialah Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Mohd Zamri Samion.
Terdahulu, Han Keong, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian leher selepas van dinaiki bersama bapanya dirempuh sebuah Volkswagen Golf GTI.
Kejadian kira-kira jam 3.36 petang itu, mendiang Han Keong bersama bapanya, dalam perjalanan ke bandar untuk melakukan kerja-kerja pendawaian.
Menurutnya, sebuah kereta dari arah bertentangan dipandu laju sebelum terbabas, melanggar pembahagi jalan dan merempuh van mereka.


