POLIS Diraja Malaysia (PDRM) ketika ini merakam keterangan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua berhubung kenyataan yang dikeluarkan dalam media sosial mengenai titah Diraja dan Rukun Negara.
Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP itu dipanggil Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bagi membantu siasatan yang dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, setakat jam 5.30 petang ini, proses merakam percakapan masih berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
Menurut beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu, Kumar dilapor berkata, sebanyak 77 laporan polis diterima pihaknya berkaitan Tony termasuk 49 yang diterima semalam dan hari ini.


