SEORANG guru lelaki yang ditahan berhubung dakwaan mencabul seorang murid perempuan tahun enam di Seri Alam, Johor Bahru direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi ini bagi permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tata Cara Jenayah.
“Mahkamah membenarkan guru terbabit direman selama enam hari bermula hari ini sehingga 27 Mei,” katanya hari ini.
Permohonan reman itu membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut kes berkenaan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana menyentuh mana-mana bahagian badan kanak-kanak.
Terdahulu, Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat dalam satu kenyataan memaklumkan, polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Menurutnya, suspek ditahan kira-kira jam 10.30 malam tadi susulan laporan polis dibuat ibu mangsa berusia 37 tahun jam 9 malam hari yang sama, mendakwa kejadian cabul itu dipercayai berlaku di kawasan Seri Alam, tahun lalu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam kenyataan hari ini menegaskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan berkompromi dalam sebarang kes melibatkan gangguan seksual dan memaklumkan guru lelaki berkenaan telah direhatkan serta merta.


