TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berpandangan, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan krisis politik yang sedang berlaku di negeri ini.
Menurut beliau, langkah membubarkan DUN itu dapat mengembalikan mandat kepada rakyat untuk membuat keputusan siapa yang terbaik untuk mentadbir negeri.
Beliau yang juga Menteri Luar berkata, secara prinsipnya Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sudah hilang kepercayaan selepas 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO-Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap beliau.
“Kalau Aminuddin sudah tidak dapat lagi kepercayaan majoriti daripada Ahli Dewan, sebaiknya beliau membubarkan DUN dan kita pulangkan semula mandat kepada rakyat untuk membuat keputusan siapa yang mereka hendak untuk mentadbir Negeri Sembilan.
“Jangan kita bising ‘kulu-kilir’, ia menyebabkan rakyat rasa tak tenteram. Sudahlah dengan keadaan dunia tidak stabil dengan perangnya, jadi kita buat elok-elok,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Seri Sendayan di Stadium Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sendayan hari ini.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, UMNO/BN menyertai Kerajaan Perpaduan adalah semata-mata untuk mengurus negara dan negeri secara bersama, bukannya untuk menimbulkan ketidaktenteraman awam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu mencadangkan supaya Sidang DUN diadakan segera bagi memberi ruang kepada Aminuddin membuktikan beliau masih memiliki sokongan majoriti untuk terus memegang jawatan Menteri Besar.
Media sebelum ini melaporkan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengumumkan semua 14 ADUN parti itu sebulat suara mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Aminuddin susulan krisis yang membabitkan institusi adat dan perlembagaan negeri.
Krisis adat di Negeri Sembilan menjadi tumpuan susulan tindakan Undang Luak mengisytihar menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balai Undang Luak Sungei Ujong.


