MESYUARAT Pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan hari ini hanya membincangkan mengenai persediaan parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin berkata, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun itu bukanlah mesyuarat khas seperti yang diperkatakan.
“Ia adalah mesyuarat biasa, bukan mesyuarat khas. Ia dinamakan tergempar kerana notis singkat selepas pembubaran DUN Johor petang semalam.
“Mesyuarat berlangsung dalam suasana yang harmoni dengan semangat keluarga PH Negeri Sembilan. Kami membincangkan kesiapsiagaan jentera pilihanraya PH untuk PRN yang bakal menjelang,” kata Ahli Parlimen Rasah itu menerusi akaun Facebook miliknya.
Media hari ini melaporkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH bersama beberapa pemimpin parti dilihat hadir ke kediaman rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan seawal jam 9.30 pagi.
Kehadiran mereka dipercayai bagi menghadiri mesyuarat khas berkaitan dengan pembubaran DUN.
Bagaimanapun Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Shahir Mohd Shah memaklumkan, tiada sidang media yang akan diadakan susulan mesyuarat terbabit.
Namun beliau berkata, Aminuddin akan menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir esok.


