SEKUMPULAN ahli Pemuda Pas Selangor berhimpun sambil melaungkan ‘Daulat Tuanku’ di pekarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam sejurus selepas solat Jumaat hari ini.
Perhimpunan itu diadakan sebagai tanda solidariti kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu penternakan babi di negeri ini.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar menerusi hantaran di Facebook berkata, himpunan ringkas itu mencerminkan sokongan rakyat Selangor terhadap institusi diraja.
Menerusi gambar yang dikongsikan beliau, kumpulan itu turut membawa poster berwarna kuning bertulis ‘Daulat Tuanku’ sambil melaungkan slogan berkenaan ketika Sultan Selangor berangkat meninggalkan masjid.
Video di kongsi di media sosial memaparkan kumpulan berkenaan menanti Sultan Selangor di depan pintu utama masjid seusai solat Jumaat, sambil memegang plakad ‘Daulat Tuanku’.
Laungan kedengaran apabila Sultan Selangor melangkah keluar dari masjid untuk ke kereta yang menanti. Baginda melambaikan tangan kepada kumpulan berkenaan.
“Seusai solat Jumaat. Tanda rakyat Selangor bersama Sultan Selangor,” kata Mohamed Sukri dalam hantaran di Facebook beliau.
Pada Selasa lalu, Sultan Sharafuddin menyarankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco kerajaan negeri, Ronnie Liu supaya memahami dan menghayati prinsip Rukun Negara `supaya menjadi rakyat yang tahu untuk hormat kepada kedaulatan Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan’.
Titah itu menyusuli kontroversi berhubung reaksi Siew Ki dan Ronnie terhadap titah Sultan Selangor supaya penternakan babi di negeri itu dihentikan sepenuhnya.
Siew Ki menerima kecaman selepas mencadangkan penternakan babi dijalankan secara moden menggunakan sistem tertutup.
Ronnie pula menggesa penternak babi yang tidak berpuas hati supaya mempertimbangkan untuk memfailkan semakan kehakiman berhubung perkara tersebut.


