POLIS Kontinjen Johor menumpaskan sindiket dadah didalangi seorang lelaki berusia lingkungan 60-an selepas menyerbu premis memproses dadah dan katrij vape di Iskandar Puteri dan Johor Bahru menerusi tiga serbuan berasingan, Isnin lalu.
Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, dalam serbuan itu, pelbagai jenis dadah, peralatan memproses dadah dan katrij vape bernilai RM16.4 juta dirampas yang disifatkan sebagai rampasan terbesar di Johor setakat tahun ini.
Beliau berkata, empat lelaki ditahan terdiri daripada dua lelaki tempatan dan dua lelaki warganegara asing berusia antara 27 hingga 60 tahun.
“Serbuan pertama melibatkan sebuah premis rumah kedai di Skudai yang dipercayai beroperasi sebagai makmal memproses dadah, manakala serbuan kedua juga melibatkan premis rumah kedai juga di Skudai yang dijadikan tempat memproses katrij vape mengandungi dadah.
“Sementara itu, serbuan ketiga melibatkan sebuah kediaman di Taman Mutiara Mas yang menyaksikan dalang berusia 60 tahun berjaya ditahan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, Johor Bahru hari ini.
Menurut Chuan Huat, sindiket ini dipercayai telah beroperasi sejak Januari lalu dengan memasarkan dadah berkenaan untuk pasaran seluruh negeri ini.
“Jumlah rampasan dadah melibatkan 94.76 liter cecair methamphetamine dan 14.61 kilogram bahan kimia jenis etomidate dengan nilai keseluruhan RM16.4 juta. Jika kekal dalam pasaran, ia boleh digunakan seramai 120,649 orang.
“Turut disita termasuk tiga buah kenderaan, pelbagai peralatan menyimpan dan memproses dadah serta wang tunai tempatan dan luar negara.
“Ujian air kencing mendapati dua suspek positif dadah, dengan dua orang turut memiliki rekod jenayah lampau. Mereka semua direman selama tujuh hari sehingga 25 Mei depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” jelasnya.


