Kilang proses e-waste diserbu, rampasan bernilai RM1.2 juta

DUA kilang memproses sisa elektronik (e-waste) di Kuala Langat, Selangor diserbu pihak berkuasa dalam Op Hazard semalam, melibatkan rampasan sejumlah 347 tan sisa elektronik serta peralatan pemprosesan bernilai RM1.25 juta.

Operasi dijalankan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) menerusi risikan utama Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sepang.

Komander WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, operasi itu dijalankan melalui serbuan serentak di dua lokasi bermula sekitar jam 11 pagi membabitkan stor dan premis aktiviti memproses e-waste.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis menahan 24 lelaki dan seorang wanita warga asing berusia antara 19 hingga 50 tahun.

“Barang rampasan membabitkan 347,000 kilogram e-waste yang sudah dileraikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaki berkata, keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM1,256,100.

Kata beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 dan 19 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta Seksyen 38(1)(a) akta sama membabitkan penahanan operasi selama 14 hari.

“Majlis Perbandaran Kuala Langat turut mengeluarkan kompaun RM1,000 serta notis pemberhentian perniagaan bagi kesalahan mengikut Seksyen 3 Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Daerah Kuala Selangor) 2007,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zaki berkata, sepanjang tempoh 1 Januari hingga hari ini, WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman melancarkan 158 serbuan di seluruh negara dengan 335 individu ditahan atas pelbagai kesalahan.

Menurutnya, kesalahan itu membabitkan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barang kawalan dan bersubsidi, penjualan senjata tiruan, penyeludupan hidupan liar serta operasi e-waste.

“Kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat kepada PDRM amat digalakkan bagi memastikan jenayah seperti ini dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img