DALAM Bahagian Pertama wawancara UtusanMelayuPlus bersama Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), LEFTENAN JENERAL (B) AHMAD NORIHAN JALAL, beliau telah menjelaskan berhubung misi dan visi bagi menjadikan koperasi sebagai pemacu negara.
Beliau juga turut menyentuh soal penyertaan golongan belia. Dalam BAHAGIAN KEDUA wawancara ini, Ahmad Norihan yang berkhidmat selama 30 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjelaskan pula bagaimana beliau menarik golongan berkenaan ke dunia koperasi.
Bagaimana penyertaan golongan belia dalam operasi. Apa Datuk mahu lakukan untuk menarik mereka?
AHMAD NORIHAN : Saya melihat pemerkasaan belia ini sebagai keutamaan kritikal. Kita perlu menarik seberapa ramai belia untuk menjadikan koperasi sebagai satu wadah perjuangan mereka dalam perniagaan. Itu yang paling penting sekali.
Koperasi boleh dijadikan satu platform keusahawanan dan juga mobiliti sosial, bukan sekadar organisasi tradisional yang mungkin kurang menarik dilihat orang muda.
Dalam usaha itu kita akan membuka ruang kepimpinan generasi muda kepada koperasi sedia ada. Ia supaya koperasi bukan hanya diterajui mungkin oleh orang-orang lama tetapi keperluan sekarang memerlukan anak-anak muda sama ada sebagai ahli lembaga koperasi ataupun dalam pengurusan koperasi itu sendiri. Jadi barulah kita boleh membina satu ekosistem lebih mesra, lebih inovatif dan mempunyai idea-idea baru.
Masalahnya, bila sebut koperasi, orang beranggapan ia hanya untuk orang tua, apa langkah Datuk untuk memberi pemahaman kepada golongan muda?
Beberapa inisiatif telah kita buat untuk mereka yang terlibat dalam koperasi iaitu pertama orang muda, kedua wanita, ketiga kelompok seperti veteran tentera, polis dan juga yang lain.
Inisiatif atau aktiviti yang mereka laksanakan adalah berdasarkan aspirasi Malaysia Madani iaitu pertama sekali keterjaminan makanan, kedua terlibat dalam sektor pelancongan sama ada eko pelancongan dan juga pelancongan lain, manakala ketiga teknologi. Kita lihat orang muda adalah masa depan koperasi, kita telah mengadakan perbincangan dengan beberapa organisasi belia. Antaranya paling penting Majlis Belia Malaysia (MBM) dan beberapa majlis belia negeri.
Kita telah berjumpa dengan majlis belia di Sabah, Sarawak, Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) untuk menarik golongan belia. Tapi secara terus terang saya katakan, saya ingin melihat belia-belia yang mungkin dalam keadaan sedikit tercicir berada dalam koperasi.
Tercicir maksudnya mereka mungkin tidak ada peluang bekerja dalam sektor swasta atau kerajaan tetapi memiliki pengetahuan (dalam bidang-bidang tertentu). Ada antara mereka mempunyai kelulusan atau mungkin tidak ada kelulusan spesifik, maka kita akan tarik belia-belia ini untuk berada dalam kelompok koperasi dan mereka buat koperasi.
Apa strategi menarik Datuk untuk pikat golongan belia serta koperasi?
Bila cerita pasal belia ini, ia paling dekat dengan saya. Saya ada tiga koperasi yang dijadikan sebagai koperasi angkat untuk belia. Mereka mendapat sedikit special treatment, maksudnya mereka boleh berhubung terus dengan saya.
Salah satu contoh koperasi angkat ini berada di Sabah. Koperasi ini disertai anak-anak muda yang memelihara kambing. Tetapi mereka ni scattered (bertebaran). Kita kumpulkan dan mereka buat koperasi untuk memulakan perniagaan.
Yang kedua, belia kurang bernasib baik. Di Pulau Redang, kita ada satu koperasi belia, ada 31 ahli yang mana mereka telah membuat projek glamping. Kita lihat ia boleh dijadikan benchmark kepada belia-belia lain. Di peringkat negeri dan juga ibupejabat, kita telah membuat beberapa taklimat kepada wakil-wakil belia supaya mereka faham. Sebab koperasi ni bukan semua orang faham sebenarnya.
Tetapi kita perlu beri pendedahan, apa itu koperasi? Apa yang perlu dilakukan untuk entiti tersebut masuk ke koperasi dari segi pendaftaran hinggalah geran atau pinjaman tertentu mereka boleh dapat.
Apabila mereka faham, maka mereka mudah untuk terus berada dalam satu komuniti koperasi supaya mereka dapat membuat satu gerakan koperasi menarik.
BAHAGIAN KETIGA : Tiada kompromi soal tatakelola,integriti koperasi


