
SEJAK perang antara Iran dan Amerika/Israel, saya telah menyertai sesi perbincangan melibatkan pelbagai pihak antara pemain industri, pakar ekonomi, dewan perniagaan dan agensi kerajaan berhubung kesan konflik tersebut.
Walaupun hakikatnya, kita sudah melalui pelbagai krisis sebelum ini termasuklah paling besar Covid-19 serta perang Ukraine, namun perang Iran melawan AS-Israel dijangka memberi tekanan luar biasa secara global termasuk Malaysia sendiri.
Bagi saya, krisis di Asia Barat itu memberi kesan berganda yang lebih menakutkan kerana pelbagai masalah meledak serentak sma ada disedari atau tidak.
Ia bukan hanya soal krisis tenaga seperti minyak dan bahan api sahaja tetapi pelbagai masalah lain.
Dunia sebenarnya sedang berhadapan empat krisis serentak iaitu perang Iran melawan Amerika-Israel, pemanasan global (climate change), wabak penyakit (hantavirus,ebola dan covid-19) dan ancaman kehilangan pekerjaan kepada AI dan robot. Namun, Malaysia berada dalam Krisis 4 + 1 iaitu krisis politik yang semakin merimaskan.
Dalam konteks Malaysia, bulan Jun ini dijangka banyak syarikat pembuatan dan perkilangan akan berhadapan dengan masalah bekalan bahan mentah yang mengganggu operasi pengeluaran.

Perkara ini pernah dimaklumkan oleh persatuan pengusaha industri kecil sederhana (IKS) dalam satu sesi forum Impak Krisis Asia Barat yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bulan lalu.
Jika keadaan ini berlaku, syarikat-syarikat pembuatan akan memperlahankan operasi dan memotong kos pengurusan yang sudah pasti akan membawa pula kepada pemberhentian pekerja.
Seorang sahabat saya memaklumkan bagaimana sebuah syarikat pengeluar air minuman terkemuka antarabangsa tidak menyambung kontrak pelabelan produk mereka kerana syarikat gergasi terebut menghadapi masalah bekalan botol minuman plastik mereka.
Peringatan mengenai bekalan minyak/bahan api negara pula mempunyai dua versi. Ada yang mengatakan bekalan bertahan hingga Jun dan ada pula yang mengatakan sehingga Julai. Dua kenyataan ini pun sudah agak bercanggah.
Namun apa yang pasti, kerajaan sudah tidak berupaya untuk menanggung beban subsidi minyak yang melonjak daripada RM700 juta kepada RM3.2 bilion dalam tempoh kurang seminggu. Kenaikan ketara sebanyak RM2.5 bilion ini berlaku susulan lonjakan harga minyak dunia akibat konflik di Asia Barat itu.

Abang Mat Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan pula memaklumkan bahawa harga bekalan makanan dijangka naik pada suku ketiga tahun ini.
Ini diakui oleh pakar-pakar dan persatuan peniaga yang mengunjurkan barangan makanan kritikal seperti beras, sayur-sayuran, daging ayam, dan telur boleh mengalami kenaikan harga sekitar 5% hingga 10%.
Malah, Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia memberi amaran harga makanan siap/bermasak di luar rumah boleh meningkat lebih tinggi jika kos bahan mentah dan logistik terus tidak stabil menjelang suku ketiga.
Memandangkan kita diancam krisis berangkai 4+1, Malaysia memerlukan persiapan rapi dan kesiapsiagaan yang tinggi. Keseimbangan di antara kemampuan belanjawan negara dengan keutamaan kebajikan rakyat perlu diuruskan dengan berhati-hati, penuh cermat dan berhemah.
Malah sudah wujud keresahan dalam kalangan penjawat awam yang mahu melaksanakan kerja kerajaan akibat dasar pemotongan bajet, sehingga ada ketua jabatan yang ‘memancung’ terus sebarang pembentangan kakitangan awam melibatkan perbelanjaan baru.
Itulah sebab banyak pihak semakin rimas dengan cerita politik yang amat memualkan sehingga menghilangkan keyakinan rakyat khususnya penggerak ekonomi mengenai keseriusan kerajaan mendepani cabaran berganda ini.
Kita bukan sahaja memerlukan pelan serta-merta tetapi juga mengambil peluang melakukan ‘reset’ bagi merancang struktur baru bersifat jangka panjang kerana cabarannya bukan sahaja begitu besar tetapi juga bergerak sangat pantas dalam setiap saat, bukannya setiap hari, minggu, bulan atau tahun.
Pengalaman saya berurusan dengan pelbagai pihak mendapati, kita masih gagal melihat bencana lebih besar iaitu krisis 4 + 1 ini yang menjadikan cara berfikir dan bekerja kita masih di takuk lama, masih belum sedar sepenuhnya dan ada yang masih leka tanpa berasa takut walau sedikit pun.
Jujur saya katakan bahawa ini bukan masanya untuk kita terus berada dalam ‘sindrom penafian’ dan berseronok dengan drama politik berebut kuasa kerana tersilap langkah rakyat akan menghukum mana-mana parti politik yang dirasakan gagal melaksanakan tugas sama ada sebagai pemerintah, mahupun sebagai pembangkang.
Kita perlu berterus-terang kepada rakyat agar semua pihak boleh menerima hakikat dan bersedia menghadapi apa juga situasi selepas ini. Penafian dengan ‘kajian menyeluruh’ amat bahaya kerana maklumat yang salah akan menjahanamkan sebarang keputusan dan tindakan.
Saya sendiri pernah dikecam akibat sindrom penafian ini kerana sesetengah ‘tukang karut’ ada agenda peribadi dan ‘cari makan dengan bos’…mereka inilah perosak paling bahaya sebenarnya.
Ingatlah, kita sedang berhadapan dengan dunia yang sangat rencam dan amat sukar untuk ditangani. Hanya keikhlasan, kejujuran, iltizam serta istiqomah sahaja yang dapat melepasi ujian ini.
Krisis Iran ini sahaja sudah cukup ‘menyakitkan’ dan apabila perang sepenuhnya yang dijangka tamat antara akhir tahun ini hingga penghujung tahun depan, proses pemulihan ekonomi akibat kesan perang tersebut tidak akan selesai dengan baik.
Belum lagi ancaman berangkai lain yang saya fikir akan berlarutan sehingga tahun 2030 yang saya sebut sebagai ‘Masa Depan Yang Sangat Ekstrem’
Pilihlah jalan kita semua. Melepasi cabaran atau merudum pada tahap yang tidak pernah kita fikirkan selama ini?
Semoga Allah memelihara kita semua.


