Kemelut NS ‘panas’:  6 Pembesar mahu  sidang khas DUK 29 Mei, UMNO desak MB bubar DUN

KEMELUT pemerintahan dan pentadbiran di Negeri Sembilan dijangka  ‘lebih panas’ apabila Enam Pembesar Pemerintah Negeri Sembilan mengarahkan sidang khas Dewan Keadilan & Undang (DKU) diadakan pada 29 Mei bagi membincangkan krisis yang berlaku.

Pada masa UMNO Negeri Sembilan terus mendesak Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Dalam surat bertarikh 21 Mei 2026 yang tular di media sosial, enam pembesar tersebut yang  terdiri daripada Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar Sungei Ujong mengarahkan Setiausaha DUK Raja Norazli Raja Nordin memanggil mesyuarat berkenan untuk diadakan di Balai Rasmi Tunku Besar Tampin.

‘’Kami menegaskan bahawa selaras dengan Perkara 16 (1) dan (3) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang memberi kuasa mutlak kepada DKU bagi membincangkan sebarang persoalan berkaitan Adat dalam Negeri Sembilan dan sebarang persoalan berkenaan kewajipan-kewajipan Kami menurut perlembagaan negeri ini dan mana-mana undang-undang bertulis.

‘’ Agenda Sidang Khas ini adalah khusus untuk membincangkan isu-isu berbangkit berkaitan kemelut pemerintahan dan pentadbiran adat yang semakin meruncing di Negeri Sembilan. Kami percaya bahawa sidang ini adalah sangat mustahak demi kepentingan Negeri Sembilan,’’ kata Enam Pembesar tersebut.

Mereka juga meminta supaya Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dijemput hadir pada sidang itu selaku pemerhati bebas.

Walaupun arahan itu didakwa selaras Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan namun ada pihak yang mempertikaikannya. Ia kerana sidang rasmi DKU lazimnya dipanggil melalui saluran institusi yang sah dan berkait dengan kuasa Yang Dipertuan Besar.

Oleh itu adakah DKU yang dipanggil itu sah? Apa yang akan  berlaku jika sebarang keputusan yang dibuat oleh DKU tidak diperkenan oleh Yang Dipertuan Besar memandangkan ia dianggap tidak sah?

Ia sudah pastilah merumitkan keadaan kerana keputusan DKU mungkin tidak berkuat kuasa sepenuhnya.

Dalam sistem Raja Berperlembagaan Malaysia, banyak tindakan rasmi memerlukan pengesahan atau pengisytiharan melalui institusi pemerintah negeri. Jika Yang Dipertuan Besar enggan memperkenan, pelaksanaan keputusan itu boleh tergantung atau dipertikai dari sudut undang-undang.

Pihak DKU mungkin berhujah bahawa dalam adat Negeri Sembilan, kuasa tertentu — terutama berkaitan Undang dan adat — tidak bergantung kepada perkenan Tuanku.

Sebaliknya pihak istana atau kerajaan negeri boleh berhujah bahawa selepas wujudnya Undang-Undang Tubuh Negeri 1959, semua tindakan besar mesti mematuhi prosedur perlembagaan moden.

Dalam keadaan semakin merumitkan ini, UMNO Negeri Sembilan  diminta tidak mengambil kesempatan dengan terus Aminuddin memohon perkenan Yang Dipertuan Besar membubarkan DUN.

Bersabarlah sekejab, biarlah kemelut berkaitan Empat Undang Luak dan Yang Dipertuan Besar diselesaikan terlebih dahulu. Bagaimana nanti kalau Yang Dipertuan besar membubarkan DUN tetapi pada sama Undang Luak menganggap ia tidak sah?

Ia kerana pada April 2026, Empat Undang mengisytiharkan bahawa Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dilucutkan daripada takhta atas dakwaan campur tangan dalam urusan adat dan luak.

Sepatutnya UMNO meminta isu ini diselesaikan dulu bukannya kelam-kabut mahukan PRN diadakan. Tambahan pula  negara sedang berhadapan krisis tenaga dan bekalan global yang pastinya akan memberi kesan kepada rakyat.

Tidak mengapalah 14 ADUN BN hilang kepercayaan terhadap Aminuddin tetapi janganlah dilihat mahu melakukan tindakan yang boleh menggugat pentadbiran negeri.

Lagipun rakyat keliru, ADUN-ADUN  itu menarik sokongan kepada  Aminuddin tetapi terus menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan sepertimana diputuskan oleh BN pusat.

Tempoh pemerintahan Kerajaan Negeri akan berakhir pada 29 Oktober 2026  oleh itu buat masa ini pelbagai pihak berharap, biarlah krisis antara Undang Luak dan Yang Dipertuan Besar diselesaikan terlebih dahulu. Ia memandangkan jika sidang khas DKU diadakan pada 29 Mei, kemelut di Negeri Sembilan pasti akan bertambah ‘parah’.

Oleh itu demi kepentingan negeri tersebut sewajarnya semua pihak termasuklah Undang Luak mahupun ahli politik berhati-hati dalam tindakan masing-masing. Ia kerana yang akan menjadi mangsa ialah rakyat dan paling malang sudah pasti ada antara mereka tidak faham apa yang berlaku.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img