SEJUMLAH 91 peratus daripada 271,472 kandungan yang diminta untuk diturunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kepada penyedia platform media sosial dikenal pasti berkaitan penipuan dan judi dalam talian.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata jumlah tersebut adalah yang direkodkan sejak 1 Jan 2026 hingga semalam.
Beliau berkata 81 peratus kandungan perjudian dalam talian dikesan di Facebook, manakala 58 peratus kandungan penipuan dalam talian turut berada di platform sama.
“Saya dimaklumkan oleh Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia bahawa pada tahun lepas, bank-bank di Malaysia berjaya menyekat kira-kira RM1.2 bilion yang cuba dicuri oleh penipu, melalui mekanisme keselamatan institusi perbankan sendiri,” katanya pada sidang media selepas majlis penutupan Inter-Agency Retreat on Combatting Online Scam 2026, di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata situasi itu amat membimbangkan, memandangkan sindiket penipuan dilaporkan telah memperdaya rakyat Malaysia membabitkan kerugian sebanyak RM2.7 bilion tahun lepas.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Abdul Karim Fakir Ali, Penasihat (Asia Tenggara) Global Anti-Scam Alliance (GASA) Rajeshpal Singh Sandhu dan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Fahmi berkata hasil permukiman itu turut mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa khas melibatkan agensi penguat kuasa, badan kawal selia, syarikat telekomunikasi dan institusi perbankan bagi memperkukuh kerjasama dalam membanteras jenayah penipuan dalam talian secara bersepadu dan berterusan.
Beliau berkata jawatankuasa itu dijangka dibentuk dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas nota berkaitan dibawa ke Jemaah Menteri.
Fahmi berkata langkah itu penting, bagi membolehkan teknik baharu digunakan penipu dalam talian termasuk penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI), dapat dikenal pasti dengan lebih pantas selain memastikan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara terselaras.
Dalam majlis tersebut, Fahmi turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara MCMC dan GASA.
MoU tersebut merupakan langkah untuk memperluas kerjasama antarabangsa dalam usaha memerangi penipuan dalam talian, selain memberi fokus kepada perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik, pembangunan kapasiti, advokasi serta pemerkasaan kesedaran awam berkaitan ancaman penipuan digital.
Kerjasama ini mencerminkan komitmen berterusan MCMC dalam memperkukuh keupayaan negara menangani ancaman penipuan dalam talian, serta menyokong usaha kerajaan membina ekosistem digital yang lebih selamat, dipercayai dan berdaya tahan.


