Remaja lelaki mabuk tikam penyelia keselamatan

SEORANG remaja lelaki tempatan berusia 15 tahun ditahan kerana disyaki mencederakan seorang penyelia keselamatan menggunakan pisau di hadapan sebuah kedai serbaneka di Razak City Residensi, Cheras, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati mangsa, 49, menegur suspek yang dipercayai berada dalam keadaan mabuk kerana membuang tin minuman keras merata-rata di kawasan itu.

“Suspek yang tidak berpuas hati selepas ditegur bertindak agresif dan menghayunkan pisau sehingga menyebabkan mangsa mengalami luka tetakan di bahagian kiri abdomen,” katanya dalam satu kenyataan.

Rosdi berkata, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis dari Balai Polis Salak Selatan menahan suspek di lokasi kejadian pada jam 10.45 pagi hari sama.

Katanya, polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

“Suspek tidak bersekolah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek negatif dadah,” katanya.

Rosdi memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

“Suspek direman sehari pada Sabtu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk arahan lanjut,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img