TIGA individu termasuk pasangan suami isteri warga emas cedera parah selepas dua kereta terbabit dalam kemalangan di Kilometer 3.5 Lebuhraya SILK, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian kira-kira jam 9.10 malam itu membabitkan dua buah kereta yang dalam perjalanan menghala ke arah Kajang.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati sebuah kereta dipercayai dipandu laju ketika menuruni bukit dari arah Kampung Baru Balakong sebelum hilang kawalan.
“Kereta itu kemudian melanggar sebuah lagi kereta yang berada di lorong tengah Lebuhraya SILK arah Kajang.
“Akibat kemalangan itu, pasangan suami isteri warga tempatan berusia 60 dan 61 tahun mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan tangan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, pemandu sebuah lagi kereta, lelaki tempatan berusia 35 tahun turut cedera parah di bahagian kepala.
Katanya, semua mangsa dibawa ke Hospital Sultan Idris Shah Serdang bagi menerima rawatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saifudin Saadun di talian 011-21119379 bagi membantu siasatan,” katanya.
Naazron turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu secara berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.


