41 scammer gagal hadir ke mahkamah, waran tangkap dikeluarkan

SERAMAI 41 warga China yang didakwa terbabit dalam sindiket penipuan dalam talian kini diburu polis selepas gagal hadir ke Mahkamah Tinggi Tawau bagi prosiding kes mereka hari ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos mengeluarkan waran tangkap terhadap semua tertuduh terbabit selepas hanya 39 daripada 80 individu hadir pada prosiding sebutan permohonan semakan syarat jaminan warga China terbabit yang dituduh di bawah Seksyen 102b Kanun Keseksaan.

Difahamkan, kesemua 41 tertuduh itu juga gagal hadir pada prosiding 21 April lalu dan dipercayai sudah melarikan diri atau pulang ke negara asal.

Malah, penjamin mereka turut gagal hadir ke mahkamah untuk mengemukakan surat tunjuk sebab.

Berikutan itu, mahkamah turut memerintahkan wang jaminan semua tertuduh terbabit dibatalkan dan dilucuthakkan kepada kerajaan Malaysia.

Pada 21 April lalu, Mahkamah Tinggi memperketat syarat jaminan terhadap kesemua tertuduh dengan mengarahkan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah selain diwajibkan melapor diri secara berkala di balai polis.

Ia susulan permohonan semakan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang sebelum ini membenarkan semua tertuduh diikat jamin selepas mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pakatan jenayah.

Kesemua tertuduh membabitkan 78 warga China termasuk empat wanita selain masing-masing seorang warga Myanmar dan Laos.

Sementara itu, Mahkamah Majistret turut mengeluarkan waran tangkap terhadap semua tertuduh yang gagal hadir bagi prosiding sebutan semula dan pengurusan pra-perbicaraan hari ini.

Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin kemudian menetapkan 12 hingga 16 Oktober depan sebagai tarikh perbicaraan penuh kes berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif berkata, pihaknya sudah menyerahkan dokumen berkaitan kes kepada peguam yang mewakili sepuluh tertuduh.

Katanya, dokumen bagi tertuduh yang belum melantik peguam atau tidak diwakili akan diserahkan pada 29 Jun depan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img