Pemandu jengkaut parah tersepit dihempap bongkah runtuhan kuari

SEORANG pemandu jengkaut parah selepas tersepit dalam jentera dipandunya akibat dihempap bongkah batu dalam kejadian runtuhan kuari di Bukit Tembaga, Pokok Sena di Kedah hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa, Ahmad Zaidi Dali, 29, berjaya dikeluarkan pasukan bomba dan penyelamat yang bergegas selepas menerima panggilan mengenai kejadian itu.

ANGGOTA bomba dan penyelamat membawa keluar pemandu jengkaut yang tersepit ditimbus runtuhan bongkah kuari di Bukit Tembaga di Pokok Sena petang ini. GAMBAR: JBPM Kedah

Saksi kejadian, Roshazwan Saad, 35, berkata, dia terdengar bunyi letupan kuat akibat runtuhan kuari sehingga tanah menolak lori dipandunya ke depan.

Menurutnya, dia cuba membantu mangsa tetapi gagal kerana bimbang berlaku runtuhan lagi sebelum segera menghubungi pihak bomba.

“Saya dengar mangsa meminta tolong dan nampak tangannya bergerak tetapi saya minta dia supaya bersabar dan tunggu sehingga pasukan penyelamat sampai kerana saya tak mampu buat apa-apa.

“Tidak lama kemudian, bomba sampai dan membantu mengeluarkan mangsa yang ketika itu masih hidup,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Roshazwan berkata, dia datang ke situ hanya untuk mengambil tanah di kawasan berkenaan sebelum dihantar ke Alor Setar.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena, Bakar Saad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.07 petang.

Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota dari BBP Pokok Sena diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Shahrin Musa tiba di lokasi tidak lama kemudian.

“Setibanya di lokasi, didapati terdapat runtuhan tanah dan batu kuari menghempap sebuah jengkaut.

“Pemandu jengkaut itu didapati terperangkap dan tersepit di dalam runtuhan itu dan Komander Operasi melaporkan struktur pintu dan rangka kabin mengalami kerosakan serta dipenuhi tanah.

“Anggota di lokasi kejadian menstabilkan jentera dan menjalankan kerja-kerja menyelamat menggunakan peralatan hidraulik serta peralatan menyelamat khas bagi membuka ruang akses kepada mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Bakar berkata, operasi dilakukan dengan berhati-hati dengan bantuan sebuah lagi jengkaut untuk mengangkat batu bagi memudahkan mangsa dikeluarkan.

Beliau berkata, mangsa berjaya dibawa keluar pada jam 2.48 petang dan diserahkan kepada ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa ke hospital.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img