MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) menegaskan setiap pelaksanaan latihan dan operasi ketenteraan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu dilaksanakan secara profesional, terancang serta mematuhi garis panduan keselamatan yang ditetapkan pihak berkuasa.
MKN menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, perkara itu diputuskan dalam Sidang MKN yang berlangsung semalam sebagai sokongan terhadap komitmen ATM dalam memastikan aspek keselamatan dan pemeliharaan alam sekitar sentiasa diberi perhatian.
Katanya, setiap latihan ketenteraan tertakluk kepada prosedur kelulusan yang ketat serta penyelarasan bersama kementerian dan agensi berkaitan termasuk Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN).
“Bagi kawasan latihan yang diwartakan mahupun tidak diwartakan, setiap permohonan perlu melalui proses kelulusan dan pengesahan pihak berkuasa berkaitan termasuk agensi teknikal.
“Permohonan juga perlu dikemukakan dalam tempoh ditetapkan sebelum latihan dilaksanakan bagi memastikan aspek keselamatan, pematuhan prosedur dan sensitiviti setempat diberi perhatian,” menurut kenyataan itu.
MKN turut memaklumkan semua prosedur operasi standard (SOP) berkaitan latihan ketenteraan akan terus diperkemas dari semasa ke semasa.
Menurutnya, penilaian pasca latihan juga akan dijalankan bagi meneliti keberkesanan pelaksanaan selain memastikan sebarang impak yang berlaku ditangani sewajarnya.
“MKN berpandangan kesiapsiagaan pertahanan merupakan elemen penting dalam memastikan kedaulatan, keselamatan serta kepentingan strategik negara sentiasa terpelihara.
“Pada masa sama, aspek keseimbangan antara keperluan operasi pertahanan dan sensitiviti setempat perlu terus diberi perhatian melalui pendekatan libat urus dan penyelarasan berterusan bersama semua pihak berkepentingan,” katanya.
Tambah kenyataan tersebut, latihan ketenteraan akan dilaksanakan menerusi kerjasama rapat antara ATM, kerajaan negeri dan agensi berkaitan bagi memastikan setiap aktiviti dijalankan secara tersusun, selamat dan berhemah selaras dengan kepentingan keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat.


