DATUK Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Republik Islam Iran, Dr Masoud Pezeshkian, bagi menyampaikan ucapan Eid Mubarak serta salam persaudaraan dan doa daripada seluruh rakyat Malaysia buat rakyat Iran.
Perdana Menteri berkata, beliau menzahirkan harapan agar Iran segera kembali aman dan segala ketegangan serta pertumpahan darah dapat dihentikan melalui jalan damai, hikmah dan diplomasi yang bertanggungjawab.
‘’Malaysia kekal berpendirian tegas mengecam sebarang tindakan serangan dan pencerobohan termasuk yang melibatkan serangan dron serta tindakan ketenteraan Israel-Amerika Syarikat yang hanya akan terus mengorbankan nyawa rakyat yang tidak berdosa,’’ katanya melalui Facebook beliau.
Anwar turut merakamkan penghargaan atas dukungan serta kerjasama pihak Iran dalam membantu urusan pelepasan kapal Malaysia di Selat Hormuz tempoh hari.
‘’Sikap saling menghormati dan semangat persahabatan seperti inilah yang harus terus diperkukuh dalam hubungan antara negara,’’ katanya.
Anwar memberitahu, Presiden Iran turut menyatakan penghargaan terhadap pendirian konsisten Malaysia yang menjunjung keamanan, keadilan dan prinsip kemanusiaan di pentas antarabangsa, selain mengundang saya untuk mengadakan lawatan ke Tehran bagi memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
‘’Insya-Allah, saya akan mengatur jadual untuk ke Iran pada masa yang sesuai. Iran sentiasa dekat di hati saya, apatah lagi ramai sahabat dan kenalan di sana yang terus mempertahankan nilai ilmu, persaudaraan dan perjuangan kemanusiaan sejagat,’’ katanya.


