Malaysia sambut baik usaha Trump tamat perang di Gaza – Kementerian Luar

MALAYSIA  menyambut baik usaha Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk menamatkan perang Israel di Gaza melalui pelan komprehensif, sambil menyuarakan harapan ia dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Dalam satu kenyataan malam ini, Kementerian Luar berkata pelan itu, yang dinanti-nantikan masyarakat antarabangsa, merupakan langkah penting ke arah menamatkan segera jenayah genosid, kebuluran dan kemusnahan di Gaza.

“Malaysia berharap pelan ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya, seterusnya membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan, pengunduran pasukan Israel, kepulangan pelarian dan rakyat Palestin yang dipindahkan secara paksa, serta pembinaan semula Gaza,” kata kenyataan tersebut, lapor Bernama.

Kementerian Luar menegaskan perlunya pelaksanaan pelan tersebut selaras dengan undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan resolusi berkaitan, selain perlindungan kepada rakyat Palestin serta menangani isu keadilan dan akauntabiliti.

“Semua ini adalah penting untuk mencapai keamanan yang adil dan berkekalan, keselamatan serta kestabilan untuk semua pihak di rantau berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar berkata Malaysia bersedia bekerjasama dengan Amerika Syarikat dan anggota masyarakat antarabangsa lain dalam menyokong usaha murni untuk mencapai keamanan di Gaza, memastikan pengintegrasian Gaza dengan Tebing Barat serta merealisasikan penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berasaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.

Pada Isnin, Trump mengumumkan pelan 20 perkara bagi menamatkan perang Israel di Semenanjung Gaza yang terkepung.

Pelan itu termasuk pembebasan tawanan Israel sebagai pertukaran dengan sejumlah tahanan Palestin, pelucutan senjata sepenuhnya Hamas, dan pembentukan jawatankuasa teknokrat Palestin tanpa kaitan politik untuk mentadbir enklaf itu, menurut laporan Anadolu Ajansi.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img