SINDIKET penipuan pelaburan yang menyasarkan warga Korea dengan tawaran pulangan tinggi dalam tempoh singkat menggunakan sebuah premis homestay di Klebang Kechil, Melaka, sebagai pusat operasi sebelum diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi khas itu dijalankan pada jam 10.35 pagi hasil maklumat awam dan risikan selama sebulan, dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta JIM Melaka.
Menurutnya, sindiket dikendalikan operator warga China dan Taiwan yang menggunakan platform media sosial serta aplikasi komunikasi untuk memperdaya mangsa di Korea melalui tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.
“Hasil pemeriksaan mendapati operator sindiket dibahagikan kepada tiga skop tugas iaitu mengendalikan khidmat pelanggan, menguruskan maklumat berkaitan pelaburan serta menyimpan data pelanggan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati operator berkenaan tidak dibenarkan keluar dari premis sepanjang tempoh bekerja, manakala bekalan makanan dihantar oleh dua lelaki tempatan yang turut ditahan.
“Kedua-dua lelaki tempatan itu dipercayai dibayar RM3,000 untuk menjaga premis dan mengawasi pekerja, manakala sindiket berkenaan dipercayai beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam sejak tiga bulan lalu.
“Serbuan itu membawa kepada penahanan 34 individu terdiri daripada 29 lelaki dan dua wanita warga China, seorang lelaki warga Taiwan serta dua lelaki tempatan berusia 22 dan 32 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penjaga premis,” katanya.
Zakaria berkata, semakan awal mendapati tiga lelaki warga China yang ditahan telah tinggal lebih masa, manakala warga asing lain tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
Pemeriksaan turut membawa kepada rampasan tiga pasport China, 309 telefon bimbit, 45 set komputer, lima penghala, satu suis gigabit, satu peranti Wi-Fi mudah alih serta 21 buku nota yang mengandungi arahan penipuan kepada mangsa.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM318,600.
Dua lelaki tempatan disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, manakala warga asing berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) akta sama.
Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.





