Mayat dibungkus tilam, tangan diikat, disyaki dibunuh dalam rumah kedai – Polis

MISTERI bau busuk dari sebuah rumah kedai di Pokok Mangga, Melaka membongkar penemuan mayat dipercayai mangsa bunuh yang disembunyikan dalam lipatan tilam dengan kedua-dua tangan diikat, malam semalam.

Mayat lelaki terbabit ditemukan dalam keadaan reput dan dipercayai sudah meninggal dunia lebih dua minggu hingga sebulan.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 7 malam selepas pemilik rumah datang memeriksa unit berkenaan kerana gagal menghubungi penyewa sejak beberapa hari lalu.

“Semasa memasuki rumah itu, pemilik terhidu bau busuk sebelum menemui satu bungkusan tilam di ruang tamu.

“Pemilik kemudian menghubungi polis dan hasil pemeriksaan menemukan satu mayat dalam keadaan telah hancur,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Malim hari ini.

Menurut beliau, identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti berikutan keadaan mayat yang sudah reput.

Katanya, siasatan awal mendapati terdapat unsur pembunuhan berdasarkan keadaan mangsa dan situasi di dalam rumah berkenaan.

Susulan itu, polis menahan seorang lelaki penganggur berusia lingkungan 40-an bagi membantu siasatan.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu dan mempunyai tujuh rekod jenayah lampau.

“Ketika ditahan, suspek masih dalam keadaan khayal dadah dan belum dapat memberi kerjasama sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati rumah kedai tingkat satu itu disewa seorang wanita sebelum didiami anaknya yang juga suspek.

“Kita percaya mangsa mempunyai kaitan dengan suspek dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengenal pasti motif pembunuhan serta identiti mangsa.

“Kita percaya kes ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img