POLIS membuka siasatan berhubung dakwaan seorang kanak-kanak lelaki dipaksa minum air cili oleh guru di sebuah taska di daerah Kluang selepas kes itu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, laporan berkaitan kejadian itu dibuat penjaga mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang pada jam 8.46 malam tadi.
Menurut beliau, kejadian dipercayai berlaku pada 20 Mei lalu di dapur sebuah taska di Kluang.
“Laporan itu susulan kenyataan yang tular di media sosial. Kanak-kanak terbabit didakwa dipaksa minum air cili oleh guru di taska berkenaan.
“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan kandungan berunsur provokasi, fitnah atau kenyataan yang boleh menjejaskan keluarga mangsa, pihak taska serta individu yang sedang disiasat.
“Polis meminta orang ramai memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus bagi memastikan keadilan kepada semua pihak,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial dakwaan sebuah taska di Taman Sri Kluang mendera dan menghukum pelajar secara fizikal.
Susulan itu, pengurusan taska terbabit tampil memohon maaf selain memaklumkan siasatan dalaman sedang dijalankan berhubung insiden berkenaan.


