SEORANG lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sandakan hari ini, atas empat pertuduhan memperdagangkan wanita termasuk tiga kanak-kanak perempuan bagi tujuan eksploitasi seksual.
Tertuduh, Chu Nyuk Sheng, 32, didakwa selepas ditahan dalam serbuan di sebuah hotel di Bandar Sandakan bersama empat mangsa berusia antara 15 hingga 30 tahun pada 14 Mei lalu.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah menjalankan serbuan di hotel berkenaan kira-kira jam 10.45 malam sebelum menyelamatkan semua mangsa termasuk tiga remaja perempuan bawah umur.
Bagi tiga pertuduhan memperdagangkan kanak-kanak untuk tujuan eksploitasi seksual, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(1) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi satu lagi pertuduhan membabitkan wanita dewasa, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Ong Teik Yi di hadapan Majistret Nur Faezah Jafry.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 15 Jun depan untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen.


