Pelajar nekad lapor polis, dakwa jadi mangsa rogol dan amang seksual bapa tiri

SEORANG pelajar perempuan tampil membuat laporan polis selepas mendakwa menjadi mangsa perbuatan terkutuk bapa tirinya sejak empat tahun lalu membawa kepada pendakwaan lelaki itu di Mahkamah Majistret Muar, hari ini.

Tertuduh berusia 47 tahun bagaimanapun hanya mengaku bersalah bagi pertuduhan amang seksual di hadapan Majistret Arthana Sarma Rao, manakala pertuduhan merogol dinafikannya dan memohon dibicarakan.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua, ketiga dan kelima, tertuduh yang juga buruh ladang sawit didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa berusia 15 tahun mengikut Seksyen 14(a), (b) dan (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan bagi setiap pertuduhan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat, bapa kepada seorang anak itu didakwa merogol mangsa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Segamat antara jam 10 malam hingga 12 tengah malam pada 2022, April lalu dan Mei tahun ini.

Berdasarkan laporan dibuat, mangsa nekad membuat laporan selepas tidak tahan dengan tindakan tertuduh yang didakwa menjadikannya tempat melampiaskan nafsu sejak beberapa tahun lalu.

Mangsa mendakwa dia terpaksa merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan ibunya kerana diugut tertuduh.

Susulan laporan berkenaan, polis menjalankan siasatan sebelum menahan tertuduh pada 24 Mei lalu bagi membantu siasatan lanjut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 3 Jun ini untuk fakta dan hukuman serta serahan dokumen bagi pertuduhan yang dinafikan tertuduh di Mahkamah Sesyen.

Tiada tawaran ikat jamin dibenarkan memandangkan tertuduh mengaku bersalah.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img