NIAT seorang lelaki warga emas cuba menenangkan seekor lembu korban yang mengamuk bertukar detik cemas apabila dia cedera ditanduk haiwan itu di Kampung Murni, Layang-Layang, Kluang, kelmarin.
Mangsa berusia 65 tahun dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian ketiak kiri selepas ditanduk ketika cuba mengawal lembu terbabit sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa sebelum itu dihubungi seorang pembeli yang memaklumkan lembu dijual kepada individu lain untuk dijadikan korban sukar dikawal.
Menurutnya, mangsa kemudian datang ke lokasi bagi membantu mengawal haiwan berkenaan sebelum lembu itu tiba-tiba bertindak agresif.
“Mangsa ditanduk di bahagian ketiak kiri ketika cuba mengawal lembu terbabit.
“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, mangsa ditahan di wad selama sehari dan tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian itu.


