Pengendali jetski hilang belum sempat lihat wajah bayi baru lahir

LELAKI yang dilaporkan hilang ketika mengendalikan jetski di perairan Pulau Tepor di Langkawi petang semalam dikatakan belum sempat menatap wajah bayinya yang baru lahir.

Seorang pekerja aktiviti sukan air yang hanya mahu dikenali sebagai Faizal, 43, berkata, dia mengenali mangsa, Arash Nashran Abdul Maser, 23, memandangkan kaunter aktiviti sukan airnya beroperasi tidak jauh dari tempat mangsa bekerja.

“Saya dimaklumkan rakan-rakan yang mengusahakan aktiviti sukan air mengenai Arash baru sahaja mendapat seorang bayi dan belum sempat melihat anak dan isterinya yang masih dalam pantang di Raub, Pahang.

“Ketika kejadian, Arash dipercayai baru selesai menarik bot ‘UFO’ dan sedang dalam perjalanan untuk kembali ke pantai sebelum dipukul ombak dan hilang,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, pengunjung yang menggunakan khidmat Arash sudah berada di pantai dan sedang menunggu mangsa mengendalikan jet ski tersebut.

Katanya, komuniti sukan air di sekitar pantai hanya menyedari sebuah jet ski bergerak sendiri kira-kira jam 6.30 petang sebelum usaha pencarian dimulakan bagi mencari mangsa.

Faizal berkata, secara lazimnya, jet ski mempunyai kunci yang diikat pada jaket keselamatan dan akan tercabut serta terhenti operasi sekiranya pemandu terjatuh daripada kenderaan itu.

Sementara itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis melalui Maritime Rescue Sub Centre Langkawi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat sejak semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian 999 pada jam 8.20 malam.

Beliau berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 0.2 batu nautika di timur laut Pulau Tepor.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img