SELEPAS hampir 24 jam dikhuatiri lemas, lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke laut ketika cuba mendapatkan semula sebuah jetski yang hanyut di Pantai Tengah, Langkawi semalam, ditemukan petang ini.
Mayat Arash Nashran Abdul Maser, 23, ditemukan jam 6 petang oleh orang awam yang menaiki jetski dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin berkata, mayat mangsa ditemukan kira-kira 100 meter dari lokasi terakhir dia dilaporkan terjatuh ke laut.
Beliau berkata, penemuan itu kemudian dimaklumkan kepada pasukan penyelamat sebelum mayat mangsa dibawa ke darat oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 7 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Khairul Azhar berkata, operasi SAR disambung pada jam 8 pagi selepas pencarian hari pertama dihentikan pada jam 7 malam tadi.
Operasi itu membabitkan aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, JBPM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang menjalankan pencarian di beberapa sektor sekitar perairan Pulau Tepor.
Media semalam melaporkan, mangsa terjatuh ke laut kira-kira 100 meter dari pantai selepas dipercayai cuba mendapatkan semula sebuah jetski yang hanyut.
Mangsa dipercayai terjun ke laut untuk mengejar jetski berkenaan sebelum dihanyutkan ombak kuat. Difahamkan, mangsa tidak memakai jaket keselamatan ketika kejadian.
Mangsa yang bekerja mengendalikan jetski di perairan Pulau Tepor di Langkawi itu dikatakan belum sempat menatap wajah bayinya yang baru lahir.


