Pemandu Myvi ditahan tunjuk isyarat lucah, ugut pengguna jalan raya

TINDAKAN seorang pemandu Perodua Myvi menunjukkan isyarat lucah dan mengugut pengguna jalan raya dengan objek dipercayai besi membawa kepada penahanannya selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, suspek berusia 37 tahun ditahan hasil maklumat dan risikan susulan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) milik mangsa yang dimuat naik di media sosial.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 11.27 pagi Khamis di Jalan Tun Dr Awang, Georgetown menghala ke Relau.

“Siasatan mendapati suspek yang memandu Perodua Myvi bertindak memotong kenderaan mangsa secara mengejut sebelum menunjukkan isyarat lucah.

“Suspek kemudian memberhentikan keretanya di hadapan kenderaan mangsa, keluar dari kereta sambil membawa objek dipercayai besi dan menghayunkannya ke arah kenderaan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, polis merampas sebuah Perodua Myvi, sebatang paip PVC, kunci kereta dan pakaian yang dipercayai digunakan suspek ketika kejadian.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine serta mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya.

Menurutnya, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau dan direman selama tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img