GERAN khas interim bagi Sabah dinaikkan kepada RM1.5 bilion berbanding RM600 juta sementara menunggu kaedah pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil negeri itu dimuktamadkan seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata jumlah berkenaan hanya bersifat interim kerana perbincangan mengenai jumlah sebenar pemberian berdasarkan tuntutan 40 peratus hasil negeri masih perlu dimuktamadkan melalui rundingan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
“Soal 40 peratus (hasil Sabah) walaupun dikatakan keadaan kewangan 112D (mekanisme semakan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan), bagi saya tutup. Jangan orang pertikai keputusan kita untuk melaksanakan janji ini.
“Sama (ada) yang dibuat bulan Jun atau Disember, itu harus diputuskan dua-dua jawatankuasa dan kemudian dibawa kepada kerajaan negeri di peringkat tertinggi dan perundingan antara Persekutuan dan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Penampang hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata komitmen berkaitan pembayaran hasil 40 peratus itu telah dibawa ke Jemaah Menteri dan diumumkan secara rasmi di Parlimen, namun cabaran ketika ini lebih tertumpu kepada kaedah pelaksanaannya.
Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri mengamanahkan Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican untuk memperincikan rundingan bersama Kerajaan Negeri Sabah.
Beliau berkata rundingan itu perlu dilaksanakan secara teliti memandangkan setiap keputusan melibatkan MA63 memberi implikasi secara langsung kepada Sabah, Sarawak serta negeri-negeri lain di Semenanjung.
“Keputusan (ini) terkait dengan perjanjian 1963 (MA63). Jadi tiap keputusan kita, jumlahnya itu harus dicerakin dengan terperinci dan ia mengambil masa sedikit, tetapi tidak akan menolak bahawa dana harus diberikan,” katanya.


