AKIBAT bertindak kejam memukul anjing sehingga mati, seorang lelaki didenda RM20,000 oleh Mahkamah Majistret, Ipoh hari ini selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan berkenaan.
M.Tenishkura, 23 yang bekerja sebagai mekanik diperintah oleh Majistret Anis Hanini Abdullah menjalani hukuman penjara sebulan jika gagal membayar dendam berkenaan
Mengikut pertuduhan, Tenishkura memukul seekor anjing jantan dengan menggunakan sebatang besi sehingga haiwan itu mengalami kecederaan. Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Lebuh Kledang Utara 30, Taman Arkid, di sini, antara jam 10.30 malam 18 September dan 9 pagi 19 September lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 722) yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, kira-kira jam 9.15 pagi 19 September, pengadu yang juga kakak tertuduh telah menerima panggilan telefon daripada jiran yang memberitahu seekor anjing miliknya telah mati dibunuh oleh adik lelakinya.
Apabila pengadu sampai di rumah dan membawa anjingnya ke Klinik Haiwan Silibin, ia disahkan mati akibat hentakan di bahagian kepala.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amal Azimah Abd. Kohar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada Isnin, media melaporkan polis menahan seorang lelaki yang dipercayai memukul seekor anjing menggunakan batang besi sehingga mati di sebuah rumah di Taman Arkid.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata penahanan itu susulan tular video berdurasi satu minit 31 saat yang dimuat naik di laman Instagram Malaysian Animal Organisation.
Katanya, hasil semakan mendapati satu laporan polis mengenai kejadian itu telah dibuat pada 19 September lalu di Balai Polis Menglembu.